
KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sebuah sungai berhampiran Kampung Minansad, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa bersama tiga rakan lain dipercayai turun ke sungai berkenaan untuk melakukan aktiviti memanah ikan.
Katanya, bapa mangsa kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh salah seorang rakan anaknya, kira-kira sejam selepas mereka keluar dari rumah.
“Salah seorang rakan mangsa datang ke rumah dan memberitahu bahawa mangsa terkena renjatan elektrik semasa berada di dalam sungai.
“Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka dan mendapati mangsa berada di dalam sungai dengan seutas kabel elektrik berada di tangannya,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian yang boleh menyebabkan kematian mangsa.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan daripada kabel elektrik yang putus dan mengenai air sungai.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa naik ke darat oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kota Marudu,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah