
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor kira-kira jam 8.00 malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terhadap atas suspek berusia 56 tahun itu menemukan lima paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 54.23 gram.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah berkenaan adalah kira-kira RM5,500,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Katanya, suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selepas menjalani ujian saringan awal air kencing.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mandatori atau penjara seumur hidup dan tertuduh juga hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
“Kes juga ldisiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang melibatkan kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya sambil menambah suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Sammy turut mengingatkan masyarakat agar menjauhi penyalahgunaan dadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah berkaitan dadah di kawasan mereka.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam usaha kita membanteras gejala dadah demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah