
KENINGAU : Tiga pasukan yang terdiri daripada pelajar dan guru Kolej Vokasional (KV) keningau telah masing-masing memenangi pingat emas di pertandingan 1st International Sustainability Invention, Innovation and Development of Food, Culture and Technology (ISIIDFCT) anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang yang diumumkan keputusannya pada 5 September 2024.
Ketiga-tiga pasukan ini telah menghasilkan produk makanan yang diterapkan dengan unsur-unsur makanan tradisi kaum Iranun, kaum Bugis dan masyarakat Peranakan Cina di negara ini.
Pasukan pertama terdiri daripada tiga orang pelajar tahun kedua Seni Kulinari iaitu Thiery Christian Thomas, Carl David dan Nur Hafiz Mahat dengan Ibrahim Samin sebagai guru penasihat mereka.
Pasukan ini mempertarungkan makanan berasaskan tradisi komuniti Peranakan Cina iaitu patty burger yang berkonsepkan masakan Nyonya dan dianugerahkan emas atas resipe yang dihasilkan.
Pasukan ini juga telah pernah menjadi johan pertandingan inovasi kebangsaan dalam bidang makanan beberapa bulan yang lepas.
Pasukan kedua juga terdiri daripada tiga orang pelajar dari program yang sama tapi kini berada di tahun ketiga iaitu Reisha Qistina Rosli, Lovelina Lim dan Nur Heaziratul Yasik @ Feanddy yang dibimbing oleh guru penasihat mereka iaitu Aleena Ameera Seleh.
Produk makanan yang mereka hasil adalah pes yang berasaskan resipe kaum Bugis iaitu Ayam Liku dan ianya juga berjaya meraih pingat emas.
Pasukan yang terakhir telah menggondol pingat emas melalui produk makanan mereka yang diilhamkan daripada makanan tradisi kaum Iranun.
Pasukan ini dianggotai oleh tiga orang pelajar tahun ketiga Seni Kulinari iaitu Nadine Adrian, Aquamarie Audeari Fredolin dan Nur Haziqah Mairah Ah Yuk @ Awang beserta dengan guru pembimbing mereka iaitu Siti Yusrina Adnan.
Pengarah kolej itu, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada ketiga-ketiga pasukan dari program Seni Kulinari ini yang telah berjaya merangkul tiga pingat emas dengan tiga inovasi makanan mereka yang bukan sahaja menggunakan konsep teknologi terkini malah memartabatkan tradisi kaum-kaum di negara ini memandangkan produk yang dihasilkan adalah berasaskan makanan tradisional.
Dia berharap agar warga kolej tersebut terus menyemarakkan budaya berinovasi dengan menyerapkan pelbagai unsur seperti unsur budaya, kelestarian dan teknologi.



Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost