21 Rumah Atas Air Musnah Terbakar Dalam Kebakaran Di Sandakan

Kira-kira 21 buah rumah dalam keluasan 487 meter ranap dalam kebakaran di Sandakan.

SANDAKAN: Sebanyak 21 rumah atas air dan sebuah stor musnah terbakar dalam kejadian di Jalan SK Batu Putih, Kampung Batu Putih, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua mangsa turut cedera melecur dipercayai ketika cuba menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.40 pagi

Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan 21 rumah jenis tidak kekal dan sebuah stor penyimpanan barang-barang kampung terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba mendapati keluasan kawasan kebakaran terlibat dianggarkan kira-kira tiga ekar,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi segera melancarkan operasi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

Jimmy berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan 487 meter dengan tiga aliran dan enam pancutan sumber air dari jentera dan air terbuka.

“Terdapat dua mangsa dilaporkan melecur di bahagian tangan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS, sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.14 petang,” katanya.

Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *