‘Tolong Jaga Anak Saya’, Bayi Dalam Kotak Tertera Nota Ditemukan Depan Rumah Di Membakut

Pesanan tertera ‘ada anak saya dalam kotak ini’ ‘tolong jaga anak saya, semoga rezeki dipermurahkan’ ditulis di penutup kotak yang ditinggalkan di hadapan rumah terbabit.

BEAUFORT: Tindakan seorang wanita yang sanggup meninggalkan bayinya dalam sebuah kotak di hadapan sebuah rumah di Kampung Brunei, Membakut, mengejutkan penduduk setempat.

Bayi perempuan yang dianggarkan berusia 36 minggu itu ditemukan dalam kotak bersama tuala dan beberapa biji limau kapas, dengan nota menyayat hati bertulis: “Ada anak saya dalam kotak ini. Tolong jaga anak saya, semoga rezeki dipermurahkan.”

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penduduk kampung yang menemukan kotak berkenaan di hadapan pintu rumahnya kira-kira jam 6.10 pagi tadi.

“Saksi memaklumkan dia bangun pada jam 5.40 pagi dan melihat sebuah motosikal berwarna putih, dipercayai bernombor pendaftaran bermula dengan huruf ‘V’, berlegar-legar di hadapan rumah. Namun, dia tidak mengesyaki apa-apa,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, saksi kemudian terlihat sebuah kotak ketika hendak keluar bekerja dan mendapati terdapat seorang bayi perempuan di dalamnya.

“Bayi itu segera dihantar ke Wad Kanak-Kanak Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sampel darah juga diambil oleh pihak hospital untuk tujuan ujian paterniti,” katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, polis kini giat mengesan ibu kepada bayi terbabit. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di talian 012-4175332 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya.

Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *