
BEAUFORT: Seorang remaja lelaki dipercayai orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal mangsa terbakar dalam kemalangan di Jalan Nukahan dekat sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 7.26 malam.
Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal yang terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta.
“Penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran motosikal menggunakan satu aliran ‘hose reel’ sumber air jentera bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berumur 16 tahun itu adalah seorang OKU.
Pihaknya menamatkan operasi pada jam 8.32 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah