Empat Cedera, Pacuan Empat Roda Terbabas Jatuh Gaung Di Tawau

Pasukan bomba memberikan bantuan dan rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

TAWAU: Empat lelaki cedera selepas kereta jenis pacuan empat roda dinaiki terbabas dan jatuh masuk gaung sedalam tujuh meter di kawasan kuari Kukusan, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, semua mangsa berusia 31 hingga 46 tahun dikeluarkan oleh pekerja kuari sebelum ketibaan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jatuh ke dalam gaung di kawasan kuari sedalam tujuh meter dipercayai terbabas sendiri.

“Terdapat empat mangsa lelaki mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh pekerja kuari sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba memberikan rawatan awal, sebelum semua mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *