
KUALA LUMPUR: Kejayaan mengekang jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah terutama menumpaskan kumpulan Abu Sayyaf adalah hasil kerjasama rapat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan pihak perisikan serantau.
Bekas Komander ESSCOM, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata kejayaan itu adalah yang terbesar baginya sejak penubuhan ESSCOM pada 1 April 2013.
Katanya, hasil kerjasama dan maklumat risikan agensi keselamatan luar membantu ESSCOM menembak mati lima anggota kumpulan Abu Sayyaf di Beaufort, Sabah pada Mei 2021 yang dianggap satu kejayaan besar.
“Dua daripada suspek berkenaan dikehendaki oleh pihak keselamatan Filipina. Salah seorang daripadanya adalah seorang ustaz yang sering mengajar agama di kawasan Beaufort,” katanya.
Hazani yang menerajui ESSCOM antara 2017 hingga 2021 berkata kerjasama rapat dengan pihak keselamatan negara luar amat mustahak bagi memperoleh maklumat supaya tindakan pantas dapat diambil untuk menumpaskan penjenayah.
Pernah menjawat sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, beliau berkata antara agensi luar yang pernah ESSCOM jalinkan kerjasama adalah dengan Western Mindanao Command Centre dari Filipina.
Kerjasama itu membolehkan perkongsian maklumat secara tuntas dan pantas bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera.
Penyelarasan antara agensi
Tambah beliau, penyelarasan antara agensi penguatkuasaan dalam negara turut memainkan peranan penting untuk merangka dan melaksanakan tindakan selanjutnya bagi membanteras anasir yang berpotensi mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
“Setakat ini Alhamdulillah, ESSCOM yang memainkan peranan untuk memastikan kawasan pantai timur Sabah dalam keadaan selamat sepenuhnya.
“Ia gabungan agensi-agensi pasukan keselamatan dan juga kumpulan PTD (Pegawai Turus D) yang berada di ESSCOM dan sebagainya, menjalankan penyelarasan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain agensi.
“Saya pernah dua kali berkhidmat di ESSCOM iaitu pada awal penubuhan 2013 hingga 2015. Kali kedua pula saya menjawat sebagai komander ESSCOM pada 2017 hingga 2021 .
“Daripada situ kita mula melakukan penyelarasan bukan sahaja dengan (pasukan keselamatan dan pertahanan) tempatan tetapi juga dengan pasukan sahabat di Filipina dengan tentera dan polis di negara berkenaan,” katanya kepada BH.
Mengimbau antara pencapaian ESSCOM di bawah terajunya, Hazani berkata pihaknya ketika itu menumpukan operasi bukan sahaja untuk menumpaskan kumpulan militan bahkan menghapuskan tali barut dan penyokong tali barut kepada kumpulan penculikan.
Pada masa sama, beliau berkata kegiatan penculikan yang dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf dapat ditumpaskan, namun mengakui masih ada saki baki kumpulan yang dipanggil Lost Command yang masih melakukan jenayah itu tetapi situasi adalah terkawal.
SumbeR: Berita Harian
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah