Suami Isteri Melecur Dalam Kebakaran Di Keningau

Keadaan dua buah rumah yang musnah terbakar di Kampung Tudan Baru di sini.

KENINGAU: Sepasang suami isteri melecur dalam kebakaran membabitkan dua buah di Kampung Tudan Baru di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.24 malam sebelum sepasukan anggota dari BBP Keningau bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 7.37 malam dan mendapati dua buah rumah yang masing-masing berkeluasan 30×40 kaki musnah sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan tiga pancutan air, yang disalurkan dari jentera bomba dan sebuah water tanker. 

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.05 malam dan operasi ditamatkan pada jam 9.42 malam selepas memastikan tiada lagi ancaman bahaya di kawasan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dua orang mangsa yang juga pasangan suami isteri, dilaporkan mengalami kecederaan melecur. 

“Mangsa lelaki berusia 43 tahun melecur di bahagian tangan kiri, manakala isterinya yang berusia 42 tahun melecur di bahagian dahi. 

“Kedua-duanya diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan Jentera EMRS bomba untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan seramai 12 anggota bomba dari BBP Keningau dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan anggota RELA.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *