GRS Akan Bincang Dengan PH Kerjasama PRN17

Hajiji menyampaikan watikah pelantikan JKKK pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan (ADUN) dilantik, Datuk Jaffari Waliam di Kampung Kenangan Manis, Sandakan.

SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) berkaitan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17
(PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika memaklumkan perkara itu hari ini bagaimanapun berkata, belum ada tarikh bila perbincangan itu diadakan.

“Kita dalam kerajaan sekarang, insyAllah dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan dengan PH,” katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025 di sini pada Sabtu.

Pengerusi GRS itu ditanya sama ada pemimpin PH sudah mengadakan pertemuan dengan GRS bagi membincangkan soal kerjasama menjelang PRN17.

Hajiji turut mengulangi pendiriannya mengenai siapa yang sepatutnya menawarkan kerjasama dengan gabungan atau parti lain berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah, baru-baru ini.

Katanya, sebagai parti yang menerajui kerajaan GRS-PH Plus ketika ini, rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu akan ditentukan mereka.

“Kerajaan negeri adalah GRS-PH Plus, ini jelas tapi dalam politik kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah. 

“Jadi, walau bagaimanapun pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita.

“Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu, Hajiji membayangkan bahawa GRS tetap memilih PH sebagai rakan kerjasama walaupun BN Sabah mengumumkan bekerjasama dengan PH.

Sementara itu, kira-kira 5,000 tetamu hadir pada sambutan Aidilfitri berkenaan yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian serta penyampaian sumbangan kepada seramai 74 pelajar, guru dan staf Maahad Tahfiz serta anak-anak yatim.

Turut hadir Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri.

Pemimpin Gagasan Rakyat yang turut hadir ialah Setiausaha Agung, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, Ketua Wanita, Datuk Redonah Bahanda, Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang, Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Awang Kadin Tang dan Ketua sBahagian Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub.

Hajiji turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan (ADUN) dilantik, Datuk Jaffari Waliam di Kampung Kenangan Manis dan menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semawang dan Kampung Jaya Bakti dalam kawasan DUN Gum-Gum.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *