
KOTA KINABALU : Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor membayangkan gabungan itu masih memilih Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerjasama pada PRN akan datang.
Ketua menteri Sabah itu berkata, pengumuman Barisan Nasional (BN) Sabah akan bekerjasama dengan PH hanya pandangan parti terbabit.
“Kita sekarang adalah kerajaan negeri pada hari ini, jadi itulah pendirian kita. Tapi, untuk kebaikan negeri dan rakyat, kita tidak boleh menutup pintu rundingan, pintu perbincangan dengan parti lain.
“Yang penting, ia memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri. Kita harus bersatu padu, kita mesti mempunyai kestabilan politik untuk kebaikan kita semua. Itulah harapan saya, asalkan memberi kebaikan kepada kita.
“Jangan lupa kadang-kadang ada orang yang cakap, tetapi kita adalah kerajaan pada hari ini. Kita yang akan menentukan hala tuju kerajaan yang ada ini,” katanya menurut Berita Harian selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu.
Hajiji sudah beberapa kali mengulangi kerjasama GRS dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang berdasarkan keserasian dalam mentadbir negeri bersama, tetapi belum ada rundingan rasmi setakat ini.
Ahad lalu, Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, BN dan PH negeri akan bekerjasama pada PRN akan datang. Beliau mendakwa rundingan kerjasama itu dimuktamadkan tahun lalu.
Ditanya sama ada sidang DUN kali ini yang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN, Hajiji secara berseloroh berkata, “mahu bermimpi dulu”.
“Kita kena bincang dengan rakan-rakan parti komponen pandangan masing-masing. Nanti kita akan bermesyuarat, bukan saja GRS, tetapi juga rakan kita dalam kerajaan, iaitu PH Plus.
“Selepas itu, baru kita putuskan bila kita mahu mengadakan pilihan raya,” katanya sambil menambah kerajaan pimpinannya mempunyai tempoh hingga November ini, tetapi menjangkakan PRN17 akan diadakan sebelum itu.
Jika DUN Sabah tidak dibubarkan sebelum atau pada Julai ini, satu lagi sidang DUN dijangka berlangsung Julai nanti, sebelum tempoh DUN ke-16 sekarang terbubar sendiri apabila tempohnya berakhir.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah