
KOTA KINABALU: Pengawal Peribadi Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Musa Aman meninggal dunia selepas 10 jam terbabit kemalangan dengan sebuah pikap di Kampung Laya-Laya, Jalan Sulaman, Tuaran Isnin lalu.
Allahyarham Koperal Azfar Arshad, 33, yang bertugas di Cawangan Keselamatan Istana Negeri, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), pada jam 5.23 pagi Selasa.
Difahamkan, dalam kejadian jam 7.50 pagi semalam, Allahyarham yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Istana Negeri sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah pikap.
Musa Aman dalam kenyataannya di Facebook rasminya memaklumkan Allahyarham Koperal Azfar yang terbabit kemalangan kelmarin menghembuskan nafas terakhir di HQE I.
“Saya sempat menziarahi jenazah dan bertemu keluarga Allahyarham sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri upacara pengkebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam kenyataannya di Facebook Polis Sabah berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga Polis Kontinjen Sabah.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Majid Al-Falah, Mengkabong, Tuaran untuk dimandikan seterusnya solat jenazah akan diadakan di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Mengkabong.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah