Bung Moktar Umum UMNO Sabah-PH Bergabung Hadapi PRN17

Bung Moktar

KOTA KINABALU : Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa parti itu akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan bagi menjawab persoalan banyak pihak berhubung dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama dalam PRN kali ini.

“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan ‘retreat’ pada satu ketika dan kita memutuskan akan bergabung dengan PH.

“Bagi parti-parti lain, kita tidak menutup pintu. Mana-mana parti yang kita lihat ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan, kita akan pertimbangkan untuk bergabung,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di kediamannya di sini, Ahad.

Ketika ditanya bila perbincangan itu diadakan, beliau memaklumkan bahawa retreat tersebut berlangsung di Pulau Pinang pada akhir tahun lalu dan perbincangan rasmi akan diadakan bersama PH Sabah dalam masa terdekat.

“Perbincangan rasmi akan diadakan (dengan PH Sabah), tetapi secara tidak rasmi sudah banyak kali. Kita ada makan malam, kita ada makan tengah hari, kita ada sarapan – perbincangan diadakan, setakat ini dalam keadaan baik.

“Ia sudah dimuktamadkan, tetapi parti-parti lain pun kita undang untuk menyertai,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihak PH masih belum membuat pengumuman rasmi, namun beliau terpaksa mengumumkannya terlebih dahulu memandangkan UMNO Sabah tidak boleh terus menunggu.

“Belum lagi (PH belum umum), saya perlu mengumumkannya sebab UMNO Sabah – bagi saya, kami telah berada di sini selama ini dan kami mempunyai akar umbi yang telah lama menunggu. Jadi, sudah tidak boleh menunggu lebih lama lagi.

“Semakin lama saya menunggu, semakin lama kita berpecah. Perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat sebab pilihan raya semakin dekat,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran kerusi, beliau menjelaskan bahawa soal kerusi bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya calon yang berpotensi untuk menang harus diberi keutamaan.

Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan UMNO akan meletakkan calon di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi oleh BN sebelum ini.

“Bukan kita mengharap (agihan kerusi tertentu), kita mahu calon yang boleh menang – kita akan beri.

“Kita tidak tamak. Kalau kita boleh menang, kita tanding. Kita perlu fleksibel. Kali terakhir kita bertanding 41 kerusi, jadi saya berharap (boleh bertanding 41 kerusi juga),” katanya.

SumbeR : SINAR

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *