PGA Rampas Produk Kosmetik Bernilai Lebih RM800,000 Di Semporna

Kotak mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik serta bahan kesihatan yang dirampas dalam operasi ini.

SEMPORNA: Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak berjaya merampas pelbagai produk kosmetik kesihatan tanpa kelulusan yang dipercayai diseludup bernilai lebih RM800,000.

Rampasan menerusi operasi khas bersepadu ‘Op Taring Dosej’ dijalankan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Pinggir Bakau, Semporna, pada jam 8.10 pagi.

Menurut kenyataan Batalion 22 PGA Kunak, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat risikan yang diterima berkaitan aktiviti penyimpanan barangan larangan yang dipercayai tidak melalui proses perundangan dan pengesahan pihak berkuasa.

Katanya, premis berkenaan disyaki berfungsi sebagai lokasi penyimpanan barangan kosmetik dan ubat-ubatan yang tidak berdaftar serta dirasai status keselamatannya.

“Hasil pemeriksaan teliti di lokasi menemukan sejumlah besar kotak warna coklat dan putih yang mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik serta bahan kesihatan. 

“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penahanan tiga lelaki yang berada di premis berkenaan dan dipercayai terbabit dalam pengurusan serta pemilikan barangan yang disita,” katanya.

Katanya, tiga kenderaan turut ditemukan dan disita di lokasi berkenaan dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan barangan yang sama.

“Keseluruhan kotak besar yang mengandungi pelbagai produk seperti sabun pemutih, krim wajah, losyen, air mawar, pelindung matahari, jamu tradisional, minuman kesihatan, serta produk rawatan antibakteria yang disyaki tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Anggaran Keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1,041,791 merangkumi nilai kenderaan dianggarkan RM150,000 dan nilai barangan kosmetik serta ubat-ubatan yang berjumlah RM892,792,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Stesen Semporna.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu berkaitan kesalahan memiliki dan menyimpan barangan tanpa cukai.

“Operasi ini berjaya menghalang kemasukan dan pengedaran barangan kosmetik serta bahan kesihatan yang tidak sah di pasaran tempatan,” katanya. 

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *