Gajah Pygmy Borneo Tanpa Kepala, RM10,000 Ganjaran Pemberi Maklumat

Seekor lagi gajah Pgymy Borneo ditemui mati tanpa kepala dalam kejadian di Kalabakan, Tawau.

KOTA KINABALU: Sejumlah RM10,000 akan diberikan sebagai ganjaran kepada mana-mana individu yang tampil memberi maklumat berhubung pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, ia termasuklah kepada penangkapan, pendakwaan dan sabitan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

“Pihak Kementerian telah memutuskan untuk menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada mana-mana individu yang tampil memberikan maklumat penting berhubung kejadian itu.

“Justeru, saya menyeru dan meminta saksi atau pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan bagi membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan bagi menawarkan ganjaran itu telah dibuat menerusi mesyuarat kementerian yang diadakan semalam susulan penemuan satu lagi bangkai gajah Pygmy Borneo dalam keadaan kepala dipenggal yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Tukok di Kalabakan, Tawau.

“Ini adalah kes mengejutkan yang ketiga sejak Januari tahun ini. Kami mahu bukti kukuh mengenai tindakan kejam ini. 

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan pihak Polis sekiranya ada individu atau pihak yang menyaksikan mana-mana kejadian ini supaya kami dapat membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan penemuan bangkai gajah itu sebagai kes ketiga dan dipercayai dibunuh berdasarkan keadaan bangkai yang sudah reput dan tidak berkepala.

Sebelum itu, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di kawasan Kalabakan.

Bangkai berkenaan merupakan gajah kedua yang ditemukan mati dalam keadaan tragis selepas gajah pertama ditemui pada Januari lalu, juga dalam keadaan tanpa kepala dan kaki di Maliau Basin. 

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *