
TAWAU: Tujuh lelaki ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan berkumpulan di sebuah restoran di Jalan Haji Karim, di sini, Ahad lepas.
Semua suspek berusia 20 hingga 49 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berbeza semalam selepas laporan diterima daripada seorang lelaki di Balai Polis Tawau, pada jam 10.25 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata siasatan awal kejadian itu berlaku pada jam 5.46 petang, Ahad lepas.
Katanya, sebelum itu pengadu yang merupakan pemilik restoran berkenaan telah dihubungi oleh pekerjanya yang mengatakan berlaku pergaduhan di restorannya.
“Pengadu telah membuat semakan rakaman litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua kumpulan lelaki bergaduh dan bertumbuh termasuk menggunakan kerusi.
“Pemilik restoran berkenaan terus membuat laporan di Balai Polis Tawau mengenai pergaduhan itu dan kerugian yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau melancarkan operasi mengesan semua suspek terlibat.
“Bertindak atas maklumat, tiga suspek di tangkap di Kampung Titingan, seorang di Kampung Muhibbah Bal dan tiga lagi semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Hasil siasatan lanjut, tiga daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pergaduhan itu menyebabkan pengadu kerugian kira-kira RM200 kerana kerosakan kerusi dan pinggan di restoran berkenaan.
Champin berkata, semua suspek terbabit kini ditahan reman untuk siasatan lanjut manakala motif pergaduhan masih dalam siasatan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah