
TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki cuba merogol kanak-kanak perempuan berjaya ditahan di Kampung Tanjung Batu Darat, di sini, semalam.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan oleh anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) semasa menjalankan tugas rondaan di sekitar daerah Tawau, kira-kira jam 11.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima panggilan mengenai seorang lelaki yang ditangkap oleh orang awam berkenaan kes rogol.
Katanya, pasukan unit MPV yang sedang dalam tugas rondaan terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Sebaik tiba, orang awam menyerahkan suspek kepada pihak polis kerana disyaki cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan di kampung berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, namun tiada barang salah ditemukan bersama suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek terbabit kemudian ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah