Penunggang Motosikal Maut Terbabas Masuk Gaung Di Jalan Lahad Datu – Sandakan

Motosikal mangsa terbabas masuk gaung sebelah kanan bahu jalan.

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas ke gaung dalam kejadian di Kilometer 35 Jalan Lahad Datu – Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Sandakan menuju Lahad Datu disyaki hilang kawalan dan terbabas di gaung sebelah kanan bahu jalan.

“Kejadian itu turut disaksikan sendiri abang mangsa yang berada di kenderaan lain di hadapan motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sampel darah mangsa diambil untuk ujian alkohol serta dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dzulbaharin menegaskan kepada semua pemandu supaya berhati-hati dan berhemah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain terutama pada musim perayaan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *