
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya melaksanakan pemindahan tahanan asing ke negara asal membabitkan 709 orang Pendatang Tanpa Izin (PTI).
Kesemua PTI warganegara Filipina berumur sekitar tiga bulan sehingga 70 tahun adalah dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan warganegara Filipina dilaksanakan melalui pintu masuk laut Negeri Sabah menggunakan pengangkutan laut feri MV ANTONIA 1 yang menghubungkan secara terus ke Zamboanga City, Filipina.
“PTI yang dipindahkan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Tahanan juga sudah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan.
“Mereka juga akan disenaraihitamkan dalam sistem JIM mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, seramai 2700 orang warganegara Filipina berjaya dipindahkan ke negara asal dengan kerjasama penuh daripada pihak Kedutaan Republik Filipina yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Travel Documents (TD).
“Berdasarkan rekod statistik terkini JIM Sabah, bilangan tertinggi warganegara yang dipindahkan adalah warganegara Filipina iaitu seramai 2700 orang, diikuti 733 orang warganegara Indonesia, 53 orang warganegara Pakistan, 32 orang warganegara China, tiga warganegara Vietnam dan tujuh orang lain-lain warganegara.
“Jumlah keseluruhan tahanan PTI yang sudah menyertai program pemindahan ini adalah seramai 3,528 orang,” katanya.
Bercakap lanjut beliau berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PTI warganegara Filipina oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Travel Document (TD) secara berterusan oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Negeri Sabah untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Katanya, JIM Sabah juga menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PTI di negara ini,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah