
KENINGAU : Enam anak remaja Sabah yang merupakan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau telah menerbitkan artikel berkenaan dengan isu bahan buangan yang mereka telah masing-masing tulis di majalah Bahasa Inggeris keluaran sebuah institusi pendidikan di Indonesia, STKIP PGRI Pacitan, untuk edisi yang bertemakan Hari Kesedaran Bahan Buangan yang dikeluarkan pada 28 Februari 2025.
Majalah tersebut yang dikenali sebagai E-Magz boleh diakses melalui pautan https://pbi.stkippacitan.ac.id/e-magazine/
Pelajar-pelajar ini merupakan pelajar jurusan vokasional iaitu pendidikan awal kanak-kanak, kosmetologi, teknologi pembinaan dan teknologi elektrik.
Artikel-artikel yang mereka tulis mengulas isu pengurusan bahan buangan yang boleh ditangani dengan amalan pengurangan plastik sekali guna serta penggunaan dan pemprosesan semua bahan-bahan terpakai yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama komuniti, perusahaan sosial dan perubahan gaya hidup seharian.
Merela juga mengupas dengan jelas impak negatif bahan buangan yang tidak terurus kepada alam sekitar dan kualiti hidup manusia. Pelajar-pelajar ini adalah Jescyleo Jesimon, Jason Robert Sopining, Rosselina Senora Ungkak, Iris Sofea Irfin, Nur Qamariah Hasmeddy dan Siti Nur Hanisah Omar Hashim.
Artikel hasil karya Iris Sofea Irgfin terpilih sebagai artikel terbaik bagi edisi bulan Februari itu. Para pelajar ini telah berjaya menghasilkan artikel mereka dalam Bahasa Inggeris dengan bantuan guru mereka sebagai penyunting dan pembimbing.
Mereka kemudiannya menghantar artikel yang telah dimuktamadkan ke majalah ini yang akhirnya menerima artikel tersebut untuk diterbitkan. Majalah tersebut diterbitkan sekali dalam tempoh dua bulan dan ianya hanya menerbitkan enam artikel yang terpilih sahaja daripada kesemua penghantaran untuk setiap edisi.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menzahirkan ucapan tahniah dan rasa bangganya kepada para pelajar ini.
Dia berharap amalan menulis dan menerbitkan artikel ini agar diteruskan kerana amalan ini membolehkan pelajar mengutarakan pendapat dan pengalaman mereka melalui bidang kewartawanan sambil meningkatkan kemahiran bahasa mereka khususnya penguasaan Bahasa Inggeris.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah