Warisan Tetap Sokong Kerajaan Perpaduan Walaupun Bertanding Solo Dalam PRN Sabah – Azis Jamman

Azis Jamman

KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan, pendiriannya kekal konsisten menyokong Kerajaan Perpaduan Persekutuan meskipun memilih bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah nanti.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata parti itu konsisten dengan pendiriannya, termasuk keputusan terus menjadi pembangkang di peringkat negeri.

Beliau berkata, Warisan tetap menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah sokongan itu kekal sejak Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada awal 2020.

“Ketika kerajaan bertukar dari Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Datuk Seri Ismail Sabri, Warisan tetap dengan pendiriannya menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Maka, adalah tidak wajar untuk mempersoalkan kesetiaan Warisan dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh beliau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau menjawab kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Saudara Lee Chean Chung, yang mempertikaikan keputusan Warisan untuk bertanding secara solo pada PRN17 Sabah akan datang.

Azis berkata, kenyataan itu menggambarkan seolah-olah pendirian Warisan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak jelas, sedangkan Warisan menunjukkan pendirian yang konsisten sejak sekian lama.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, pendekatan Warisan di Sabah yang memilih terus kekal menjadi pembangkang dilakukan demi prinsip dan semak imbang kerajaan.

“Dalam Mesyuarat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan jelas menyatakan bahawa Warisan memilih untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri Sabah.

“Ini adalah demi memastikan proses semak dan imbang yang lebih kukuh bagi kepentingan rakyat Sabah.

“Warisan bukan parti yang menikam rakan dari belakang. Apabila Pakatan Harapan (PH) memilih membentuk kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan mengambil keputusan untuk kekal dengan prinsipnya sebagai pembangkang,” katanya.

Katanya, PH dan Warisan pernah bekerjasama di Sabah, malah ada calon PH yang bertanding menggunakan logo Warisan pada pilihan raya lalu.

Beliau berkata, Warisan juga memilih untuk terus bersama PH sebagai pembangkang walaupun ditawarkan menyertai Kerajaan Persekutuan ketika Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi Perdana Menteri.

“Namun, apabila Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan GRS di Sabah, PH memilih untuk meninggalkan Warisan dan membentuk kerajaan bersama GRS. Oleh itu, adalah wajar untuk bertanya siapa sebenarnya yang meninggalkan siapa,” katanya.

Azis berkata, pendirian Warisan jelas dan tidak berubah iaitu kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun memilih untuk kekal dengan prinsip sebagai pembangkang di Sabah.

“Oleh itu, kami berharap agar semua pihak menghormati pendirian Warisan sebagaimana kami menghormati hak rakan-rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk membuat keputusan mereka sendiri,” katanya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui media pada majlis berbuka puasa di Tungku, Lahad Datu pada 8 Mac lalu menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding solo pada PRN17 dan menafikan wujud sebarang kerjasama dengan parti lain.

SumbeR: BH Online

Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *