
TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang berperanan sebagai ‘runner’ dadah ditahan bersama lebih dua kilogram dadah jenis syabu di kawasan ladang kelapa sawit Jalan Air Panas Tiku, di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan serbuan di kawasan itu, kira-kira jam 2.30 petang.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang berkenaan ditahan untuk pemeriksaan awal.
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan merampas satu beg plastik berwarna hitam yang di dalamnya terdapat dua paket plastik teh cina bertulis ‘Guanyinwang’.
“Pemeriksaan lanjut mendapati plastik itu mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2,101.50 gram dianggarkan bernilai RM120,000,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 54 tahun itu membawa masuk semua dadah berkenaan daripada Kota Kinabalu sebelum menjadi ‘runner’ dan mengedarkannya di daerah ini.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan ini dan hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini,” katanya.
Sementara itu, Jasmin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan berat di sisi undang-undang negara ini.
“Polis mengalu-alukan kerjasama dan maklumat daripada orang awam bagi bersama-sama membanteras kegiatan dadah di daerah ini,” katanya.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah