Warga Emas Maut Dirempuh Kereta Ketika Baiki Jalan

Keadaan kereta berkenaan remuk selepas terlibat kemalangan maut merempuh pekerja kontrak terbabit.

TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut dirempuh sebuah kereta ketika menjalankan kerja membaiki jalan di bahu jalan di Kilometer 32, Jalan Tawau – Kunak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun tercampak sejauh 27 meter selepas dirempuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta lelaki berusia 23 tahun dari Kunak menuju ke Hospital Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta dipercayai memandu laju sambil memotong dua kenderaan di hadapannya, menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

“Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar seorang lelaki yang sedang memasang cerucuk jalan bersama dua rakan sekerjanya di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas perlanggaran itu, mangsa tercampak sejauh 27 meter dan jatuh di atas rumput di bahu kiri jalan di laluan bertentangan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Balung, manakala dua rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.

Sementara itu, Champin menasihatkan masyarakat umum supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya. oleh Hamzah Sanudin

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *