Anak Sabah Terbit Artikel Editorial di Majalah Bahasa Inggeris Nusantara

KENINGAU : Empat orang anak Sabah yang merupakan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau telah menerbitkan artikel editorial yang mereka telah masing-masing tulis di majalah Bahasa Inggeris keluaran sebuah institusi pendidikan di Indonesia, STKIP PGRI Pacitan, untuk isu Hari Perlindungan Anak Sedunia baru baru ini. Majalah tersebut yang dikenali sebagai E-Magz boleh diakses melalui pautan https://pbi.stkippacitan.ac.id/e-magazine/#flipbook-df_868/23/

Empat orang pelajar itu berasal dari empat program vokasional yang berbeza di KV keningau. Velynda Veronica Mick Martin merupakan pelajar tahun kedua program Seni Kulinari telah menulis artikel berkenaan dengan jenayah pemerdagangan manusia yang kian berleluasa di Asia Tenggara dimana ianya juga melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

Nicholas Vicky Voon, pelajar tahun keempat Teknologi Elektrik di kolej itu, meluahkan pendapatnya terhadap kepentingan kesihatan mental di kalangan masyarakat yang wajar diberi perhatian yang serius.

Azzulfa Haryani yang kini berada di tahun ketiga untuk program Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah mengulas gejala buli yang semakin merisaukan terutamanya di sekolah.

Pelajar yang terakhir adalah pelajar tahun kedua program Teknologi Pembinaan iaitu Elisha Carmen Erick yang telah membincangkan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang tidak memiliki akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan.

Artikel editorial adalah artikel berbentuk pendapat dan hujah berkenaan dengan isu spesifik dan ianya harus disokong oleh fakta.

Para pelajar ini telah berjaya menghasilkan artikel editorial mereka dalam Bahasa Inggeris dengan bantuan guru mereka sebagai penyunting dan pembimbing.

Mereka kemudiannya menghantar artikel yang telah dimuktamadkan ke majalah ini yang akhirnya menerima artikel tersebut untuk diterbitkan bagi isu bulan Jun hingga Ogos.

Majalah bersiri itu diterbitkan sekali dalam masa dua bulan.

Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, berasa berbangga dengan usaha para pelajar ini dan menganggapnya sebagai salah satu amalan yang positif yang mampu membantu memperkembangkan kemahiran bahasa, kemahiran menulis dan kemahiran berfikir secara kritis para pelajar ini.

Dia berharap agar lebih ramai pelajar menggiatkan diri dalam bidang penulisan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *