
TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki penagih ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu di Kampung Titingan, di sini semalam.
Suspek terbabit ditahan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan, Balai Polis Tawau, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran kampung berkenaan.
Katanya, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika polis melakukan pemeriksaan, namun berjaya ditahan oleh pasukan polis.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan awal, polis menemukan dua paket plastik lutsinar berisi hablur jernih di syaki dadah jenis syabu seberat 0.13 gram.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang juga penganggur disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jasmin berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain ketika ini dalam usaha mengesan rangkaian pengedaran dan penagih dadah.
Katanya, tindakan agresif polis itu diharap dapat memutuskan rantaian bekalan bahan terlarang itu dalam usaha membendung gejala penagihan dadah.
“Masyakat diingatkan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman berat.
“Polis mengalu-alukan kerjasama masyarakat di daerah ini supaya menyalurkan maklumat dan bersama membanteras kegiatan ini,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost