Empat Cedera Terbabit Kemalangan Tiga Kenderaan Di Tawau

Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

TAWAU: Empat cedera dalam insiden kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 22 Jalan Apas, Balung, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 5 petang.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta, pacuan empat roda dan lori tangki.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 29 tahun bersama dua penumpangnya dari arah bandar Tawau menuju ke Kunak.

“Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda terbabit telah dilanggar oleh sebuah kereta dari arah belakang menyebabkannya terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik hingga tumbang.

“Kereta dipandu lelaki,30, pula hilang kawalan dan melanggar belakang lori tangki yang juga dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju Semporna,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta dan pacuan empat roda bersama dua penumpangnya cedera.

“Akibat kemalangan itu juga, kereta dan pacuan empat roda terbabit mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan badan,” katanya.

Jasmin berkata, polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *